MyMetroArena
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Penyerang negara,
Safawi Rasid enggan dijulang sebagai wira meskipun jaringan penyamaannya pada
aksi final pertama Piala AFF 2018 bertemu Vietnam memberikan 'talian hayat'
buat Harimau Malaysia menjelang aksi kedua di Hanoi, Sabtu ini.
Jelas Pemain Paling Bernilai
Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2018 itu, dia bersyukur dengan jaringan
sulungnya pada kempen Piala AFF kali ini namun mengakui kejayaan mengikat
pasukan yang menghuni ranking ke-100 dunia itu diraih menerusi usaha semua
pemain yang turun beraksi, semalam.
"Alhamdulillah saya akhirnya
dapat menjaringkan gol pertama dalam saingan ini. Ia adalah hasil bantuan
daripada rakan-rakan sepasukan pada aksi malam ini.
"Selepas ini, saya akan cuba
buat sehabis baik lagi dengan kemampuan yang saya ada di samping mendapat
bantuan daripada rakan sepasukan.
"Saya akan terus berusaha
untuk mendapatkan keputusan yang baik di Hanoi pada aksi final kedua, Sabtu
ini," katanya yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan pada aksi
berkenaan.
Pada aksi di Stadium Nasional
Bukit Jalil itu, Malaysia terpaku apabila Vietnam mendahului dengan dua gol
pantas dalam tempoh tiga minit menerusi Nguyen Huy Hung pada minit ke-22 dan
Pham Duc Huy pada minit ke-25.
Namun, Shahrul Saad mengurangkan
defisit menerusi tandukan pada minit ke-36 sebelum jaringan sepakan percuma
Safawi membolehkan Malaysia mengubah kedudukan kepada 2-2 sekali gus
menghidupkan peluang buat skuad negara bagi aksi kedua, Sabtu ini.
Mengulas lanjut aksi penentuan di
Stadium My Dinh itu, penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu mengakui tekanan
sudah tentu dirasai selepas kelebihan menjadi milik Vietnam namun dia tetap
optimis Malaysia mampu mencipta kejutan di sana.
"Saya rasa sedikit tertekan
memandangkan Vietnam berjaya mendapatkan dua gol di tempat lawan. Namun, apa
saja boleh terjadi dalam bola sepak. Kami akan cuba bermain seperti biasa di
Hanoi nanti dan mendapatkan keputusan yang positif," katanya.
Lagi berita Piala AFF
SUMBERArtikel ini disiarkan pada
: Rabu, 12 Disember 2018 @ 7:22 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan