PENYERANG Harimau Malaya, Safawi
Rasid (kiri) memanfaatkan pengalamannya beraksi di pentas ACL bagi merebut
tempat dalam senarai akhir 23 pemain skuad kebangsaan. UTUSAN/ABDUL RAZAK LATIF
Fadhilul Izmel Ishak
02 Jun 2019 9:38 PM
KUALA LUMPUR - Penyerang Johor
Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid menjadikan pengalaman beraksi dalam kempen
Liga Juara-Juara Asia (ACL) sebagai taruhan untuk diserapkan ke dalam skuad 23
akhir Harimau Malaya.
Ketika ini, perebutan tempat
dalam senarai akhir 23 pemain skuad kebangsaan masih terbuka dan dijangka ketua
jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe akan menggugurkan dua daripada 25 nama
yang dipanggil sehari selepas aksi persahabatan menentang Nepal yang
berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Menyedari persaingan sengit dalam
kalangan pemain yang dipanggil, pengalaman bermain pada pentas tertinggi Asia
itu pastinya menjadi kelebihan buat Safawi berbanding rakan sepasukan yang
lain.
“Secara peribadinya saya berasa
lebih yakin memandangkan, musim ini, JDT membuat penampilan di ACL. Bagi saya,
beraksi dalam ACL memberi pengalaman berguna kepada kami kerana kami bermain
dalam intensiti tinggi, fizikal lawan yang lebih besar serta tempo permainan
yang laju.
“ACL juga kejohanan kompetitif
tertinggi di Asia dan pastinya ia menjadi batu loncatan kepada saya,
bagaimanapun, pada masa sama saya tidak mahu berasa terlalu yakin,” katanya
kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Skuad Harimau Malaya akan
berdepan Timor Leste dalam kempen Pusingan 1 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala
Asia 2023 di venue yang sama pada 7 dan 11 Jun ini.
Mengulas lanjut mengenai
persaingan yang dihadapi, pemain dari Terengganu itu berkata, masing-masing
menunjukkan komitmen yang tinggi bagi memastikan nama mereka masuk dalam
senarai akhir Cheng Hoe.
“Untuk posisi serangan,
persaingan sihat. Setiap pemain menunjukkan kelebihan masing-masing.
Mengekalkan disiplin dalam dan luar padang. Dari situ jurulatih dapat
menyaksikan berlakunya persaingan sihat,” ujarnya.
Dalam pada itu, bercakap mengenai
sambutan Hari Raya Aidilfitri, Safawi berkata, dia tidak mempunyai masalah bagi
mengawal pemakanan, namun, tidak mempunyai masa yang banyak untuk dihabiskan
bersama keluarga.
“Pasal pemakanan tiada isu sebab
sepanjang Ramadan saya mengawal makanan yang diambil. Pada Hari Raya Aidilfitri
nanti saya perlu kurangkan pengambilan makanan berminyak seperti rendang ayam,”
jelas Safawi. –SUMBER UTUSAN ONLINE 02
Jun 2019 9:38 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan