SAFAWI RASID (kanan) melepasi
pemain Nepal, Sujal Shrestha dalam aksi persahabatan Kelas A di Stadium
Nasional Bukit Jalil hari ini.- BERNAMA
03 Jun 2019 12:38 AM
KUALA LUMPUR - Harimau Malaya
mendapat suntikan moral menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala
Asia 2023 menentang Timor Leste nanti apabila menumpaskan Nepal 2-0 dalam
perlawanan persahabatan Kelas A di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.
Skuad bimbingan Tan Cheng Hoe
terlebih dahulu berada di depan selepas pemain sayap Safawi Rasid
menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-51, sebelum pertahanan Shahrul
Saad meletakkan Malaysia dalam kedudukan selesa setengah jam kemudian.
Kemenangan tersebut membolehkan Cheng
Hoe mendapat gambaran jelas dalam memastikan kombinasi terbaik untuk berdepan
Timor Leste pada perlawanan penting tersebut, yang dijadualkan di Stadium
Nasional pada 7 dan 11 Jun ini.
Ini kerana, Cheng Hoe mahu
menilai pemain lain yang mampu mengisi kekosongan ditinggalkan dua pemain,
Muhammad Syahmi Safari dan Mohamadou Sumareh untuk perlawanan menentang Nepal
dan Timor Leste.
Muhammad Syahmi mengalami
kecederaan buku lali, sementara Mohamadou digantung empat perlawanan dan
didenda US$5,000 (RM20,894) oleh Persekutuan Bola Sepak ASEAN kerana membantah
keputusan seorang pegawai perlawanan semasa perlawanan final kedua Piala Suzuki
AFF menentang Vietnam di Hanoi pada 15 Disember lalu.- SUMBER UTUSAN ONLINE 03
Jun 2019 12:38 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan