MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my

“PENAT bukan
alasan tapi semangat nak bantu negara,” kata ayam tambatan skuad bawah 22
(B-22) tahun negara, Safawi Rasid yang sanggup menolak faktor kepenatan bagi
membantu persiapan pasukan negara yang kini dalam fasa terakhir mengharungi
kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) minggu depan.
Safawi yang
beraksi pada perlawanan Liga Juara-Juara Asia bertemu Gyeongnam FC di Larkin
malam tadi terus bergegas ke Kuala Lumpur untuk mengikuti latihan bersama skuad
kendalian Datuk Ong Kim Swee yang dijadual menentang Filipina pada aksi pertama
di Stadium Shah Alam.
Menurut pemain
kelahiran Dungun, Terengganu itu, kepenatan sudah menjadi lumrah buat dirinya
yang bergelar pemain profesional malah mengakui pengalaman beraksi di peringkat
tertinggi sama ada bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) atau Harimau Malaya banyak
memberi impak positif kepadanya.
“Apa yang saya
pelajari bersama JDT khususnya pengalaman serta momentum beraksi di saingan
Liga Juara-Juara Asia akan diteruskan untuk membantu skuad B-22 negara pada
kelayakan Kejuaraan AFC B-23 nanti.
“Bukan saya
saja, rakan sepasukan di JDT seperti Akhyar (Rashid) dan Syamer Kutty (Abba)
turut mengalami perkara sama. Justeru, tiada istilah kepenatan tapi lebih
kepada meneruskan momentum positif demi mengharumkan nama negara,” katanya
ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di Padang Sime Darby, Bukit Jelutong,
hari ini.
Safawi dan
rakan sepasukannya dalam skuad Harimau Selatan iaitu Akhyar, Syamer, Haziq
Nadzli dan Dominic Tan hadir selepas membantu juara Liga Super lima kali
berturut-turut itu mengikat Gyeongnam dari Korea Selatan 1-1.
Dia turut
mengakui tiada jalan mudah untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama
meskipun sering membintangi skuad senior Harimau Malaya selain bergelar Pemain
Paling Bernilai (MVP) Liga M 2018.
“Meskipun saya
sudah menyarung jersi skuad utama Harimau Malaya sebelum ini, ia tidak bermakna
saya boleh ambil mudah. Saya tetap perlu bekerja keras dalam merebut
kesebelasan utama dan membuktikan kebolehan saya pada sesi latihan,” katanya.
SUMBERArtikel
ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 10:35 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan