MyMetroArena

Oleh Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
TANDA harga yang perlu dibayar
kelab luar negara bagi mendapatkan penyerang kebangsaan, Safawi Rasid
dianggarkan tidak kurang daripada $AS2 juta (RM8 juta).
Itu anggaran kasar beberapa ejen
berdaftar mengenai nilai bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) di pasaran seandainya
ada kelab luar berminat untuk mendapatkan sentuhan Safawi.
Menurut Pengarah Urusan Offside
Sports, Abdul Halim Abdul Shukor, beliau meletakkan nilai berkenaan di atas
prestasi menakjubkan Safawi terutama ketika beraksi bersama JDT dalam saingan
Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan skuad kebangsaan.
Malah, kejayaan pemain kelahiran
Dungun, Terengganu menjaringkan beberapa gol menarik di pentas antarabangsa
turut membantu menaikkan ‘rating’ Safawi yang kini menjadi buruan beberapa
kelab Jepun.
Bagaimanapun katanya, nilai
terbabit boleh berubah mengikut kehendak JDT yang memegang kontrak Safawi
selaku majikannya.
“Sebenarnya nilai Safawi di atas
tangan JDT sepenuhnya. Selaku ejen, saya melihat nilai Safawi dalam lingkungan
$AS2 juta yang saya kira sangat mahal bagi seorang pemain yang beraksi di Liga
Malaysia,” katanya ketika dihubungi semalam.
Jelasnya, destinasi terbaik buat
Safawi untuk terus menempa nama adalah bermula dari Liga Jepun sebelum meninjau
prospek lain di Eropah.
“Bagi saya sebaik-baiknya biar
mula dari Liga Jepun kerana kebanyakan ‘scouting’ berada di negara itu sebelum
di bawa ke Eropah.
“Lagipun, Liga Jepun menjalinkan
kerjasama dengan kelab Jerman dan sebab itu kita lihat ramai pemain Jepun
beraksi di Bundesliga.
“Selama tempoh di Jepun, Safawi
boleh mula menyesuaikan diri dengan cuaca, persekitaran profesional dan tahap
persaingan liga yang mirip dengan liga Eropah seperti Jerman, Austria dan
Sepanyol,” katanya yang bertanggungjawab membawa Norshahrul Idlan Talaha
beraksi bersama kelab Thailand, Bangkok Glass Pathum United, baru-baru ini.
Pandangan sama turut dikongsi
seorang lagi ejen tempatan, Syed Qamarul Firdaus yang mengakui nilai yang perlu
dibayar kepada skuad Harimau Selatan antara RM6 juta hingga RM8 juta.
Syed yang mengusahakan I One
Sports Agency Sdn Bhd menjelaskan, Safawi mempunyai potensi besar untuk beraksi
di luar negara seperti mana yang disuarakan bekas legenda Liverpool, Jamie
Redknapp.
“Saya setuju dengan pandangan
Redknapp dan sekarang terpulang kepada Safawi dan paling utama kelabnya. Isunya
adakah kelabnya bersedia untuk melepaskan pemain utama mereka.
“Apapun, sekarang adalah masa
paling sesuai untuk dia pergi jauh sebelum umurnya meningkat yang mungkin tiada
peluang lagi selepas ini,” kata Syed.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Jumaat, 7 Februari 2020 @ 6:20 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan