BERNAMA
PENYERANG skuad Bawah 22 negara
Safawi Rasid masih belum berpuas hati dengan persembahannya walaupun menyumbang
satu gol ketika Malaysia menang tipis 2-1 ke atas Brunei pada aksi pembukaan
bola sepak Kumpulan A Sukan SEA 2017 di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Pemain Johor Darul Ta’zim itu
yang menjaringkan gol pembukaan untuk skuad negara menegaskan masih banyak
kelemahan yang perlu diperbaiki terutamanya dalam memperkemaskan sentuhan
penyudah di depan pintu gol lawan.
“Persembahan saya memang kurang
bagus kerana kerap hilang bola ketika cuba menyerang kubu Brunei dan saya perlu
perbaiki kelemahan itu sebelum turun menentang Singapura, Rabu ini.
“Saya akui ada banyak peluang
untuk menjaringkan gol pada perlawanan menentang Brunei tapi mungkin tiada
rezeki untuk saya menambah lebih banyak gol,” kata Safawi.
Berkongsi pandangan sama seorang
lagi penyerang muda negara Syafiq Ahmad yang mengakui jentera serangan skuad
negara agak terburu-buru ketika melakukan percubaan ke pintu gol Brunei.
“Sentuhan penyudah pasukan kita
agak kurang sikit pada perlawanan ini tapi ada sedikit peningkatan berbanding
persembahan terdahulu ketika kami menyertai pusingan kelayakan B-23 di Bangkok,
baru-baru ini.
“Kami tidak ambil mudah pertemuan
malam ini, cuma mungkin disebabkan kami beraksi di laman sendiri, maka setiap
pemain begitu teruja untuk melakukan serangan ke pintu gol Brunei dan ia boleh
dijadikan sebagai satu pengajaran untuk perlawanan selepas ini,” tegas
penyerang skuad Liga Super Kedah itu.
Pada aksi itu, Malaysia membuka
tirai jaringan seawal minit keempat menerusi sepakan voli Safawi sebelum
Zulkhairy Hady Razali menyamakan kedudukan buat Brunei lapan minit kemudian.
Adam Nor Azlin muncul wira skuad
muda negara selepas menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-60 hasil
sepakan sudut Safawi.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Selasa, 15 Ogos 2017 @ 12:35 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan