MyMetroArena

Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
BEKAS jurulatih kebangsaan, B
Sathianathan mengganggap kehebatan tonggak sayap Johor Darul Ta’zim (JDT),
Safawi Rasid umpama pemain import dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) dan
tidak pernah melihatnya sebagai pemain tempatan.
Katanya, kepantasan dan kepintaran
Safawi ketika berlari bersama bola di kakinya adalah aset utama yang dimiliki
pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu.
Malah, berdasarkan pengamatannya
selaku jurulatih berpengalaman, teknik permainan Safawi sebenarnya cukup sesuai
bermain di Liga Jerman iaitu Bundesliga dan Liga Eredivisie di Belanda.
“Bagi saya Safawi boleh bermain
di Jerman dan Belanda. Dia ada teknik kawalan bola yang cukup pantas serta amat
agresif ketika memberi tekanan kepada pertahanan lawan.
“Ini kelebihan yang saya lihat
amat sesuai untuk Safawi melebarkan sayapnya kalau mahu ke Eropah. Kalau boleh
biar bermula dengan liga dari dua negara ini dulu, sebelum memikirkan liga
England, Sepanyol dan lain-lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ujarnya, Safawi berhak untuk menentukan
masa depannya sekira ada tawaran daripada kelab-kelab luar.
“Dia muda lagi dan saya kira jika
ada tawaran dia boleh fikirkan. Bagaimanapun, jika dia pilih untuk kekal di JDT
sekalipun ia juga pilihan terbaik.
“Bagi saya JDT sebuah pasukan
yang bagus kerana mereka sudah beraksi di tahap tertinggi iaitu di ACL (Liga
Juara-Juara Asia). Ia pendedahan cukup tinggi buatnya apabila beraksi di pentas
ACL.
“Tapi mungkin dia nak cuba
mengubah angin dan cabaran baharu saya rasa tidak ada salahnya. Apapun
terpulang kepadanya untuk tentukan masa depannya,” katanya.
Sebelum ini, bekas legenda
Liverpool, Jamie Redknapp mengakui cukup terpegun dengan aksi hebat Safawi
terutama menerusi tendangan kaki kiri selepas melihat beberapa jaringannya
ketika bersama JDT dan skuad negara di YouTube.
Redknapp menegaskan, Safawi
memiliki potensi untuk diketengahkan di Eropah dan menyarankan supaya untuk
memberanikan diri mengorak langkah dengan mencontohi pemain muda Jepun, Takumi
Minamino apabila berani mencabar diri beraksi bersama Red Bull Salzburg di
Austria sebelum dilamar Liverpool, Disember lalu.
Malah, bekas ketua pasukan The
Reds itu turut mengandaikan gaya permainan Safawi mirip penyerang Liverpool
dari Mesir, Mohamed Salah yang memiliki keberanian mengelecek dan ledakan kaki
kiri yang padu.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Jumaat, 7 Februari 2020 @ 10:24 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan