MyMetroArena

Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
KEKALAHAN 1-5 di tangan Vissel
Kobe sememangnya sangat pahit untuk ditelan barisan pemain Johor Darul Ta’zim
(JDT) termasuk pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Menurut Tunku Ismail, wujud
jurang ketara antara JDT dan kelab Jepun itu yang nyata berada pada kelas
tersendiri untuk merakam kemenangan pertama pada kempen Liga Juara-Juara Asia
(ACL) di Stadium Misaki Park, Kobe, Jepun kelmarin.
Jelasnya, ia adalah pengalaman
berguna buat skuad Harimau Selatan supaya bangkit mempamerkan aksi lebih
bertenaga dalam baki aksi Kumpulan G itu yang turut dihuni Suwon Bluewings
(Korea Selatan) dan Guangzhou Evergrande (China).
“Kelas yang berbeza. Kita perlu
bersikap realistik dan terima hakikat yang mereka mempunyai lebih kualiti
daripada kami. Ini adalah pengalaman baik buat kelab JDT. Ini pengajaran
berguna buat mematangkan pasukan, tetapi apapun kami akan berjuang hingga aksi
terakhir.
“Ini adalah ACL terima kasih
kepada semua penyokong bola sepak Malaysia yang memberi sokongan,” katanya
menerusi laman Instagram miliknya semalam.
Dalam aksi itu, ketua pasukan
Vissel Kobe, Andres Iniesta menjadi duri dalam daging apabila menampilkan
persembahan cemerlang di mana dia menyumbang tiga bantuan gol kepada Keijiro
Ogawa yang meledak hatrik.
Dua lagi gol dijaringkan oleh
Kyogo Furuhashi dan Douglas, manakala gol tunggal pelawat dijaringkan Safawi
Rasid menerusi sepakan penalti pada separuh masa pertama.
Sementara itu, pengurus pasukan
Luciano Figueroa berkata, pemainnya beraksi baik pada 15 minit pertama sebelum
hilang fokus apabila lebih banyak memerhatikan Iniesta dan mungkin ‘terpesona’
dengan aksi bekas bintang Barcelona dan Sepanyol itu.
“Pemain kebangsaan Jepun serta
Iniesta adalah berkelas tinggi. Saya juga merasakan pemain kami bagaikan
terpesona dengan kelibat Iniesta. Mereka (pemain JDT) tidak bermain cara biasa
dan lebih banyak memerhati dia (Iniesta), dan sikap memerhati bola ini
menghukum kami.
“Bagaimanapun, ia adalah satu
proses pembelajaran yang baik untuk kami berkembang dan memahami apa yang
diperlukan untuk bermain di peringkat tinggi ini. Saya harap kami akan lebih
baik dan untuk mencapainya kami perlu bekerja lebih keras.
“Saya teruja bekerja bersama Mora
dan pemain untuk memperbaiki kelemahan dan melakukan yang terbaik untuk setiap
perlawanan musim ini,” kata Figueroa.
Dengan kemenangan itu, Vissel
Kobe kini mendahului Kumpulan G selepas dua lagi pasukan tidak beraksi kerana
perlawanan ditangguhkan akibat penularan wabak coronavirus baharu.
Selepas ini, JDT akan bertemu
kelab dari Korea Selatan, Suwong Bluewings di Stadium Sultan Ibrahim pada 3 Mac
depan.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Jumaat, 14 Februari 2020 @ 7:59 AM
Berita Berkaitan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan