MyMetroArena

Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
KELAB Jepun, Vissel Kobe nyata
berada dalam kelas tersendiri apabila mudah membenam cabaran Johor Darul Ta'zim
(JDT) 5-1 dalam aksi pertama Kumpulan G saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL),
malam ini.
Vissel Kobe yang masih segar
dengan kejayaan memenangi Piala Super Fuji Xerox dengan menewaskan Yokohama FM
Sabtu lalu menguasai hampir 60 peratus permainan di Stadium Misaki Park, Kobe,
Jepun itu.
Skuad Harimau Selatan yang tampil
buat musim kedua berturut-turut di pentas ACL sebaliknya kerap melakukan kesilapan
mudah termasuk adegan 'jatuh sendiri' sama ada ketika melancarkan serangan
mahupun bertahan.
Malah, gol kedua tuan rumah hasil
kesilapan S Kunalan yang terjatuh di depan kotak penalti sebelum mudah dihukum
jentera depan lawan.
Seperti dijangka, bekas tonggak
Barcelona dan pemenang Piala Dunia 2010 bersama pasukan Sepanyol, Andres
Iniesta menjadi duri dalam daging buat JDT apabila hantaran cantiknya pada
minit ke-13 berjaya disudahkan Keijiro Ogawa yang bijak melambungkan bola buat
menewaskan Farizal Marlias.
JDT yang dinobatkan Kelab Terbaik
Piala AFC Sepanjang Dekad oleh Konfederasi Bolasepak Asia pada Ahad lalu, tidak
mudah berputus asa apabila berjaya mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-27.
Jaringan itu disumbangkan
penyerang muda Harimau Malaya, Safawi Rasid menerusi sepakan penalti selepas
bola hantaran Diogo terkena tangan tonggak pertahanan, Thomas Vermaelen.
Namun, keceriaan penyokong
pelawat tidak kekal lama apabila seminit kemudian Kyogo Furuhashi mudah
menyumbat gol kedua hasil 'bantuan' Kunalan yang terjatuh di depannya sekaligus
membuka ruang untuk melakukan rembatan.
Bersambung babak kedua, tidak
banyak yang mampu dilakukan anak buah Benjamin Mora apabila terus ketinggalan
sekali lagi menerusi ledakan Ogawa di minit 58 sebelum penyerang import dari
Brazil, Douglas Matos melebarkan kedudukan 4-1 minit 64.
Ogawa dilihat begitu serasi
bersama Iniesta dan dia sekali lagi bijak membaca hantaran ketua pasukan itu
buat meledak gol kelima pada minit ke-72 yang juga hatriknya dalam perlawanan itu.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Rabu, 12 Februari 2020 @ 8:07 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan