MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
BEKAS jurulatih kebangsaan, B
Sathianathan menganggap kehebatan tonggak sayap Johor Darul Ta’zim (JDT),
Safawi Rasid umpama pemain import dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Katanya, kepantasan dan
kepintaran Safawi ketika berlari bersama bola di kakinya adalah aset utama yang
dimiliki pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu.
Malah, berdasarkan pengamatannya
selaku jurulatih berpengalaman, teknik permainan Safawi sebenarnya amat sesuai
bermain di Liga Jerman iaitu Bundesliga dan Liga Eredivisie di Belanda.
“Bagi saya Safawi boleh bermain
di Jerman dan Belanda. Dia ada teknik kawalan bola yang pantas serta amat
agresif ketika memberi tekanan kepada pertahanan lawan.
“Ini kelebihan yang saya lihat
amat sesuai untuk Safawi melebarkan sayapnya kalau mahu ke Eropah. Kalau boleh
biar bermula dengan liga dari dua negara ini dulu, sebelum memikirkan liga
England, Sepanyol dan lain-lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata, Safawi berhak
menentukan masa depannya sekira ada tawaran daripada kelab luar.
“Dia muda lagi dan saya kira jika
ada tawaran dia boleh fikirkan. Bagaimanapun, jika dia pilih untuk kekal di JDT
sekalipun ia juga pilihan terbaik.
“Bagi saya JDT sebuah pasukan
bagus kerana mereka sudah beraksi di tahap tertinggi iaitu di ACL (Liga
Juara-Juara Asia). Ia pendedahan sangat tinggi buatnya apabila beraksi di
pentas ACL.
“Tapi mungkin dia nak cuba
mengubah angin dan cabaran baharu saya rasa tidak ada salahnya. Apapun
terpulang kepadanya untuk tentukan masa depannya,” katanya.
Sebelum ini, bekas legenda
Liverpool, Jamie Redknapp mengakui terpegun dengan aksi hebat Safawi terutama
menerusi tendangan kaki kiri selepas melihat beberapa jaringannya ketika
bersama JDT dan skuad negara di YouTube.
Redknapp menegaskan, Safawi
memiliki potensi untuk diketengahkan di Eropah dan menyarankan supaya
memberanikan diri mengorak langkah dengan mencontohi pemain muda Jepun, Takumi
Minamino yang berani mencabar diri beraksi bersama Red Bull Salzburg di Austria
sebelum dilamar Liverpool, Disember lalu.
Malah, bekas kapten The Reds itu
turut mengandaikan gaya permainan Safawi mirip penyerang Liverpool dari Mesir,
Mohamed Salah yang memiliki keberanian menggelecek dan ledakan kaki kiri yang
padu.
Artikel ini disiarkan pada :
Sabtu, 8 Februari 2020 @ 6:20 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan