MyMetroArena

Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
TEMPAT penyerang negara, Safawi
Rasid bukan di Liga Malaysia (Liga M) sebaliknya beraksi di liga Eropah.
Demikian pandangan legenda dan
bekas kapten Liverpool, Jamie Redknapp yang mengakui terpegun dengan aksi hebat
Safawi terutama menerusi tendangan kaki kiri berbisa.
Redknapp, 47, yang mencatat 237
penampilan bersama The Reds dari 1991-2002 menegaskan, Safawi memiliki potensi
untuk diketengahkan di Eropah dengan pemain Harimau Malaya itu hanya memerlukan
individu tepat bagi membuka jalan buatnya beraksi di sana.
Malah, beliau menyarankan supaya
Safawi memberanikan diri mengorak langkah dengan mencontohi pemain muda Jepun,
Takumi Minamino yang berani mencabar diri untuk mencuba nasib bersama Red Bull
Salzburg di liga Austria sebelum dilamar juara Eropah, Liverpool Disember lalu.
“Sebelum saya datang ke Malaysia
untuk menjadi tetamu dalam pelancaran Cadbury FC ini, anak saya membuka YouTube
dan aksi pemain nombor 11 (Safawi) memikat hati saya.
“Dia berani menggelecek dan
mempunyai sepakan percuma kaki kiri berkualiti dan terus terang, dia seorang
pemain yang memikat mata saya. Saya rasa dia perlukan sedikit tuah seperti
Minamino yang ke Liverpool. Dia juga perlu berani selain berusaha keras dan
agresif dengan melihat lebih banyak perlawanan liga luar seperti EPL (Liga
Perdana Inggeris).
“Apapun, dia ada kelebihan unik
kaki kiri seperti mana Mohamed Salah. Kuncinya berani mencabar diri ke luar
negara kerana dia masih muda dan bertenaga,” katanya ketika ditemui pada majlis
pelancaran Cadbury FC musim ketiga dengan penampilan eksklusif Redknapp dan
trofi EPL di Malaysia, di sini, semalam.
Minggu lalu, kebolehan Safawi
turut diiktiraf sebuah laman sosial bola sepak antarabangsa iaitu Trekker yang
menyenaraikan pemain JDT itu sebagai bintang masa depan atau ‘future wonderkid’
bersama bintang muda lain dari seluruh dunia.
Turut disenaraikan penyerang
Perancis, Kylian Mbappe; pemain Barcelona, Frenkie De jong; pertahanan
Liverpool, Trent Alexander-Arnold dan tonggak tengah Chelsea, Christian
Pulisic.
Sementara itu, mengulas mengenai
pendekatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menggunakan pemain
naturalisasi bagi menguatkan skuad kebangsaan, Redknapp melihatnya secara
positif yang mampu meningkatkan kualiti pasukan.
“Kita kena lihat ia dari sudut
pandang yang luas. Sekiranya kehadiran pemain naturalisasi boleh meningkatkan
pasukan serta menaikkan persaingan antara pemain tempatan dan luar, apa
salahnya dan Safawi adalah contoh di mana dia boleh bersaing mencuri tempat
dengan pemain naturalisasi,” kata bekas pemain England itu.
Kelmarin, FAM mengesahkan Liridon
Krasniqi sudah menerima taraf kewarganegaraan dan semakin hampir untuk bergelar
pemain naturalisasi kedua negara selepas Mohamadou Sumareh yang beraksi buat
Harimau Malaya sejak dua tahun lalu.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Rabu, 5 Februari 2020 @ 6:20 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan