MyMetroArena

Oleh Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
PENYERANG Harimau Malaya, Safawi
Rasid bersedia pada bila-bila masa berhijrah sekiranya ada tawaran rasmi yang
dikemukakan oleh mana-mana kelab untuk beraksi di luar negara.
Jelas Safawi, tawaran berkenaan
perlu melalui kelabnya Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi mendapatkan lampu hijau
dan persetujuan bersama sebelum memikirkan langkah seterusnya.
Katanya, memang menjadi idaman
bagi setiap pemain profesional untuk berkelana ke luar negara terutama Eropah
bagi mengembangkan lagi bakat ke tahap tertinggi.
“Bagi saya memang kalau boleh
saya nak tawaran yang rasmi dari luar negara yang akan berurusan terus dengan
JDT. Secara peribadi, memang saya nak kembangkan bakat saya dalam bola sepak
sebab ini adalah kehidupan saya.
“Lagipun saya mencari rezeki
dengan bola sepak, jadi saya nak raih pengalaman lagi. Kalau boleh saya nak
pergi lebih jauh dan insya-Allah kalau ada rezeki saya akan buat lagi baik
musim ini bersama JDT.
“Jika saya dapat peluang ke luar
negara ia secara tak langsung juga akan membuka mata orang luar. Malah, bukan
saya sorang, ramai lagi pemain Malaysia mampu bermain di luar negara,” katanya
mengulas saranan legenda Liverpool, Jamie Redknapp yang menyarankan Safawi
mencuba nasib beraksi di liga Eropah.
Arena Metro semalam melaporkan,
Redknapp yang juga bekas kapten The Reds mengakui terpegun dengan aksi hebat
Safawi terutama menerusi tendangan kaki kiri yang amat berbisa.
Beliau yang mencatat 237
penampilan bersama Liverpool dari 1991-2002 menegaskan, Safawi memiliki potensi
untuk diketengahkan di Eropah dan menyarankan supaya mengorak langkah dengan
mencontohi pemain muda Jepun, Takumi Minamino apabila berani mencabar diri
beraksi bersama Red Bull Salzburg di Austria sebelum dilamar Liverpool,
Disember lalu.
Malah, Redknapp turut
mengandaikan gaya permainan Safawi mirip penyerang Liverpool dari Mesir,
Mohamed Salah yang memiliki keberanian menggelecek dan ledakan kaki kiri yang
padu.
“Saya nak ucap terima kasih sebab
beliau (Redknapp) cakap macam itu (gaya permainan seperti Salah). Saya macam
terharu dia samakan saya macam Salah, tapi sejujurnya saya tidaklah sehebat
Salah.
“Saya cuma jadi diri saya sendiri
dan saya tak boleh ‘melayang’ dengan pujian itu. Tapi, apa yang beliau katakan
akan buat saya lagi bersemangat untuk buat lagi...buat lagi...buat lagi,”
katanya.
“Saya tak akan puas dalam bola
sepak dan akan cuba sebaik mungkin demi pasukan negara dan kelab yang saya
wakili,” katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Khamis, 6 Februari 2020 @ 6:20 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan