MyMetroArena

Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
KETIKA mata bakal terarah kepada
tonggak tengah Vissel Kobe, Andres Iniesta apabila turun menentang Johor Darul
Ta'zim (JDT), kelibat bintang muda negara Safawi Rasid tidak boleh diketepikan
begitu saja pada aksi sulung Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia (ACL) malam esok.
Pertembungan kedua-dua pemain itu
sememangnya ditunggu penyokong pasukan masing-masing dengan Iniesta bakal
memainkan peranan sebagai 'arkitek' penting untuk menghidupkan jentera serangan
kelab dari Jepun itu.
Manakala Safawi yang diiktiraf
antara pemain ‘future wonderkid’ oleh laman sosial bola sepak antarabangsa
'Striker' yang mengiktirafnya sebaris bintang muda dunia, Kylian Mbappe dan
Christian Pulisic, mampu menghadirkan kejutan dengan menjaringkan gol penting
untuk menghadiahkan mata buat JDT.
Seperti aksi terdahulu, Safawi
sering muncul sebagai 'hero' apabila berdepan pasukan gergasi dengan
menjaringkan gol seperti dibuktikannya ketika membantu Malaysia membenam Korea
Selatan 2-1 di Sukan Asia dua tahun lalu.
Malah, gol cantik menerusi
rembatan padu kaki kiri ketika menentang Shandong Luneng dalam saingan Kumpulan
E ACL musim lalu nyaris mengikat Shandong sebelum tumpas 1-2 ketika kelab dari
China itu dibarisi pemain hebat seperti bekas penyerang Manchester United,
Marouane Fellaini.
Sudah tentu sentuhan Safawi
sekali lagi ditagih dalam aksi di Stadium Misaki Park, Kobe nanti dengan
pengendali pasukan, Benjamin Mora turut mengakui anak buahnya kini berada pada
prestasi terbaik bagi menghadapi aksi itu.
Malah, beliau juga berbangga dapat
membawa JDT beraksi di pentas tertinggi saingan kelab-kelab elit Asia itu.
"(Saya) bangga dapat
membimbing JDT dan membawa pasukan pada aksi pembukaan ACL 2020. Perasaan cukup
hebat dan harapan ketika ini amat tinggi," katanya di laman Instagram
miliknya, hari ini.
Untuk rekod, ini penampilan kedua
JDT di ACL selepas musim lalu sekadar menamatkan kempen di tangga terakhir
Kumpulan E dengan empat mata daripada enam aksi.
Berdasarkan persiapan pramusim di
Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan meraih tiga kemenangan daripada lima aksi
persahabatan bertemu kelab liga utama UAE dan kelab Eropah bulan lalu, JDT
bakal memberi cabaran lebih sengit terutama dalam kempen kedua ACL musim ini.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Selasa, 11 Februari 2020 @ 8:25 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan