Sabtu, 30 November 2019

Safawi, Xavi calon gol terbaik mingguan ACL


SUKAN»Bola
Khamis, 11 April 2019 | 8:48pm
 
Safawi (kiri) bersaing dengan pemain Shandong Luneng, Marouane Fellaini dalam aksi Liga Juara-Juara Asia di Jinan, China. - Foto AFP
Safawi, Xavi calon gol terbaik mingguan ACL
Oleh Zulfaizan Mansor
zulfaizan@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Jaringan menarik dari luar kotak penalti yang dihasilkan Safawi Rasid ketika aksi Johor Darul Ta'zim (JDT) dan kelab China, Shandong Luneng, Selasa lalu dicalonkan untuk jaringan terbaik mingguan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Lebih menarik, pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu akan bersaing dengan bekas bintang Sepanyol dan Barcelona, Xavi Hernandez selepas jaringannya bersama kelab Qatar, Al Saad SC turut dicalonkan.

Dua lagi jaringan yang turut dicalonkan adalah gol dari Shojae Khalilzadeh yang mewakili kelab Persepolis dan Khojiakbar Alijonov dari kelab Iraq, Pakhtakor.

Undian bagi menentukan jaringan terbaik minggu ini boleh dilakukan peminat menerusi laman web rasmi Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), www.the-afc.com.

BH Sukan, hari ini melaporkan Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Rezal Zambery Yahya melabelkan jaringan Safawi sangat menarik dan berkelas dunia.

Ia jaringan pertama pemain berusia 22 tahun itu di pentas ACL dan ia pasti membanggakan walaupun JDT terpaksa akur tewas 2-1 kepada Shandong Luneng.[i]


[i] https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2019/04/551871/safawi-xavi-calon-gol-terbaik-mingguan-acl

Jom undi gol Safawi [VIDEO]


MyMetroArena

GOL menakjubkan jaringan bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) Muhammad Safawi Rasid ketika menentang Shandong Luneng telah dicalonkan untuk gol terbaik Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2019.

Gol pemain sayap berusia 22 tahun yang menjaringkan dua gol ketika kemenangan Malaysia ke atas Indonesia dalam perlawanan Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bulan ini, merupakan satu daripada 10 calon gol terbaik, menurut laman sesawang AFC hari ini.
 
Jaringan menarik Safawi ketika menentang Shandong Luneng mendapat pencalonan. FOTO NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Sembilan calon lain adalah Islom Tukhtakhujaev dariPFC Lokomotiv, Gonzalo Viera (Al Rayyan), Sergio Antonio (Kashima Antlers), Shojae Khalilzadeh (Persepolis), Khojiakbar Alijonov (Pakhtakor Tashkent FK), Kim Dae-won dari Daegu FC, Romario Ricardo Silva (Al Ittihad), Khalid Muneer (Al Duhail) dan Fabrício dos Santos dari Urawa Reds.

Safawi menjaringkan gol jarak jauh pada m-60 perlawanan itu yang berakhir dengan kekalahan JDT 1-2 pada 9 April lalu di Stadium Pusat Sukan Olimpik Jinan di Shandong.

Peminat bola sepak tempatan boleh mengundi untuk Muhammad Safawi di https://www.the-afc.com/competitions/afc-champions-league/latest/news/vo....

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 7:56 PM

Isnin, 25 November 2019

Malaysia gagal langkah kanan, ketiadaan Safawi beri kesan

SUKAN»Bola
Isnin, 25 November 2019 | 6:04pm
 
Penyerang negara, Hadi Fayyadh (kanan) meraikan gol penyamaan bersama Akhyar Rashid (tengah) dan Lukman Hakim pada aksi peringkat Kumpulan A Sukan SEA Filipina 2019 di Stadium Memorial Rizal. - NSTP/Osman Adnan
Malaysia gagal langkah kanan, ketiadaan Safawi beri kesan
Oleh Helmi Talkah
helmi.talkah@bh.com.my
MANILA: Ketiadaan Safawi Rasid nyata memberi kesan kepada skuad bawah 22 tahun (B-22) negara apabila sekadar seri 1-1 dalam aksi sulung Kumpulan A Sukan SEA 2019 di Stadium Rizal Memorial di sini, sebentar tadi.

Pemain muda, Luqman Hakim Shamsuddin yang diberi peranan bagi mengisi tempat Safawi bagaimanapun gagal memainkan peranannya dalam formasi 3-4-3 yang digunakan pengendali negara, Datuk Ong Kim Swee.

Selain Luqman, Kim Swee turut memberikan kepercayaan kepada seorang lagi pemain muda, Umar Hakeem Suhar Rezwan untuk berada dalam kesebelasan namun pengalaman menjadi pemisah buat pemain itu.

Kedua-dua pemain berusia 17 tahun itu dikeluarkan pada awal babak kedua perlawanan.

Terdahulu, Myanmar bermula garang apabila membuka tirai jaringan menerusi tandukan penyerang, Soe Moe Kyaw yang menyudahkan sepakan sudut pada minit ke-14.

Penyerang negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak muncul penyelamat apabila menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-24 hasil hantaran Muhammad Akhyar Rashid.

Skuad negara membazirkan beberapa peluang terhidang bagi menjaringkan gol kemenangan terutama di lewat babak permainan.

Aksi kedua akan menyaksikan anak buah Kim Swee menentang tuan rumah Filipina, Jumaat ini.[1]


[1] https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2019/11/631938/malaysia-gagal-langkah-kanan-ketiadaan-safawi-beri-kesan

Sabtu, 23 November 2019

Safawi penuhi impian kanak-kanak yatim piatu


BERNAMA | | 22 November 2019
 
Safawi Rasid
DUNGUN - Hasrat seorang kanak-kanak yatim piatu yang ingin bertemu penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Muhammad Safawi Rasid pada hari terakhirnya dirawat di Hospital Dungun, di sini akhirnya tercapai.


Muhammad Danish Irfan, 11, bersama enam lagi adik-beradiknya menjadi yatim piatu selepas ibu bapa mereka, Norhapisah Idris, 34, dan Kamal Hisham Mustaffa Mohammad, 35, maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Felda Kerteh 2/3, dekat Ketengah Jaya, Dungun pukul 11.15 pagi, 4 Oktober lepas.

Kanak-kanak tersebut yang mengalami kecederaan kritikal akibat kemalangan itu, dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu sebelum dipindahkan ke Hospital Dungun pada 30 Oktober.

Ibu saudaranya, Shaidah Idris berkata, Muhammad Danish Irfan adalah seorang murid yang sangat aktif dalam sukan terutama bola sepak, namun terpaksa melupakan minatnya itu apabila terlantar di hospital hampir dua bulan.

"Dia memang meminati corak permainan Safawi dan keinginannya untuk bertemu Safawi semakin membuak-buak setelah menonton perlawanan antara Malaysia dan Indonesia bagi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa lepas.

"Alhamdulillah, impiannya tercapai apabila Safawi sudi datang menziarahinya pagi semalam. Walaupun Muhammad Danish Irfan tidak boleh bercakap dengan lancar, dari raut wajahnya terpancar rasa gembira yang sukar digambarkan apabila bertemu idolanya itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Selain Muhammad Danish Irfan, enam lagi adik-beradiknya ialah Muhammad Danial, 12, Muhammad Darwish Iqbal, 9, Muhammad Dhiyauddin Aiman, 8, Muhammad Daim Amin, 6, Muhammad Dhiya Arsyad, 5, dan Dayyinah Athirah, 3.

Safawi yang dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) buat kali kedua pada Majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2019 (ABK 19) yang berlangsung Sabtu lepas adalah anak jati Dungun.

Pemain berusia 22 tahun itu turut merangkul dua lagi anugerah, Penyerang Terbaik dan Pemain Paling Popular pada majlis itu.

Sementara itu, Safawi ketika dihubungi Bernama berkata, beliau dimaklumkan mengenai hasrat kanak-kanak itu oleh kakak iparnya yang kebetulan bekerja sebagai doktor di Hospital Dungun.

Walaupun kepenatan kerana baru sahaja tiba di kampungnya di Dungun dari Johor kira-kira pukul 10 malam kelmarin, beliau tetap meluangkan masa melawat kanak-kanak terbabit kerana simpati dengan nasib yang menimpanya.

Menurut Safawi, beliau ke hospital kira-kira jam 10 pagi semalam dengan ditemani seorang daripada adiknya dan menghabiskan masa lebih setengah jam bagi bertanya khabar serta menemani kanak-kanak malang berkenaan.

"Kakak ipar beritahu yang kanak-kanak itu banyak kali sebut nama saya dan kebetulan pula saya baru sahaja balik bercuti di kampung malam semalam sementara menunggu permulaan pramusim Liga Malaysia (Liga M).

"Walaupun adik Danish tak dapat bercakap banyak, beliau masih dapat mengenali saya dan ada jugalah sedikit kata-kata semangat yang saya sampaikan kepadanya," katanya yang terharu dengan sokongan peminat cilik itu kepadanya. - Bernama
SUMBERArtikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/58539/BERITA/Sukan/Safawi-penuhi-impian-kanak-kanak-yatim-piatu
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Digugurkan...titik perubahan Safawi Rasid


SUKAN»Bola
Khamis, 21 November 2019 | 5:42pm
 
Pemain pasukan Malaysia Muhammad Safawi Rasid meraikan jaringan gol bagi pasukan Malaysia pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ketika menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto BERNAMA
Digugurkan...titik perubahan Safawi Rasid
KUALA LUMPUR: Ini bukan kali pertama bintang sensasi Harimau Malaya Muhammad Safawi Rasid diketepikan ketua jurulatih skuad Bawah 22 Tahun (B-22), negara Datuk Ong Kim Swee dalam pasukannya.

Pada 2016, Kim Swee yang ketika itu menjawat jawatan selaku ketua jurulatih skuad kebangsaan mengambil keputusan menggugurkan nama Muhammad Safawi daripada senarai akhir pemain menghadapi saingan Piala AFF, yang menyaksikan Malaysia gagal mara ke separuh akhir.

Selepas tiga tahun, Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2018 dan 2019 itu kini menikmati kemuncak karier, selepas membuktikan kualiti dimiliki di pentas antarabangsa bersama skuad kebangsaan dan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada peringkat domestik.

Pengguguran Muhammad Safawi, 22, pada waktu itu diibaratkan sebagai titik perubahan dalam kariernya, apabila selepas itu beliau bangkit dengan prestasi lebih meyakinkan dan Kim Swee mahu setiap pemain muda mencontohi kesungguhan serta sifat tidak putus asa dimiliki beliau.

“Kalau tidak silap ia (titik perubahan) pada Piala AFF 2016 di mana saya menggugurkan beliau (Muhammad Safawi) ketika itu. Apabila digugurkan, beliau kembali dengan begitu positif dan tidak berputus asa...ini memberikan beliau satu keyakinan cukup baik.

“Setiap pemain harus mencontohi Safawi, di mana apabila beliau gagal atau digugurkan, tetap kembali dengan lebih kekuatan dan kini beliau adalah pemain terbaik di negara kita,” kata Kim Swee kepada Bernama.

Kim Swee semalam mengesahkan untuk tidak menyenaraikan Muhammad Safawi dalam skuad negara ke Sukan SEA 2019 di Filipina, demi kebaikan pemain itu yang mengharungi begitu banyak perlawanan musim ini.

Bekas pemain sayap pasukan T-Team itu melakar rekod cemerlang bersama JDT musim ini, apabila meledak 20 gol dan merekodkan 10 ‘assist’ sepanjang 3,088 minit permainan membabitkan 37 penampilan.

Nama Muhammad Safawi kini menjadi sebutan seluruh peminat bola sepak tanah air, selepas meledak dua gol dalam kejayaan Malaysia menewaskan Indonesia 2-0 pada aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa lalu.

Kemenangan itu sekali gus membantu skuad Harimau Malaya kendalian ketua jurulatih Tan Cheng Hoe, melengkapkan tahun 2019 dengan penuh gemilang.

Kim Swee yang membimbing Muhammad Safawi bersama skuad kebangsaan serta skuad B-22 negara mengakui, pemain kebangsaan itu memiliki kekuatan kaki kiri dan sering meluangkan masa sekitar 15-20 minit membuat latihan tambahan, selepas tamat sesi latihan pasukan.

“Kita dapat lihat Safawi kini berada pada tahap berbeza dan ini bukan saja daripada hasil usaha barisan jurulatih, tetapi keyakinan diri Safawi sendiri dan kesungguhan beliau yang membawanya ke tahap cukup baik ini.

“Dalam sesi latihan beliau fokus kepada setiap keadaan tetapi yang memberi kelebihan sudah tentu sepakan percumanya, di mana beliau mempunyai kesungguhan untuk berlatih (sepakan percuma) setiap hari, selepas tamat latihan.

“Apabila kita berlatih dengan baik ketika sesi latihan, ia akan berlaku serta ‘menjadi’ di setiap perlawanan,” jelas Kim Swee.

Pengguguran Muhammad Safawi mendapat pelbagai reaksi positif dan negatif oleh peminat tempatan, namun apa yang pasti sebagai jurulatih, Kim Swee hanya mahukan yang terbaik buat pemain itu.

Adakah dengan keputusan Kim Swee ini, seluruh peminat bola sepak tempatan akan menyaksikan peningkatan prestasi lebih baik daripada Muhammad Safawi pada musim 2020? – BERNAMA.[i]


[i] https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2019/11/630788/digugurkantitik-perubahan-safawi-rasid

Khamis, 21 November 2019

Kaki kiri Safawi cukup bahaya'


MUHAMMAD AFHAM RAMLI | | 20 November 2019
Pengendali sementara Indonesia, Yeyen Tumena mengakui bakat luar biasa yang dimiliki pemain sayap negara, Muhammad Safawi Rasid. - FOTO ZAHID IZZANI

PENGENDALI sementara Indonesia, Yeyen Tumena mengakui bakat yang dimiliki pemain sayap negara, Muhammad Safawi Rasid adalah sangat luar biasa.
Pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Safawi memastikan kemenangan skuad Harimau Malaya dengan menjaringkan dua gol pada minit ke-29 dan ke-72 sekali gus merangkul kemenangan ketiga daripada lima perlawanan dan memacu Malaysia ke tempat kedua dengan sembilan mata.

"Saya sudah melihat dia (Safawi) semasa Sukan Asia tahun lalu di Indonesia. Dia bermain bagus dan berjaya mencipta gol semasa menentang Korea Selatan dan dari situ saya lihat dia sebagai pemain yang baik bila bola di kakinya.

"Kaki kirinya sangat bahaya, itu satu bakat yang luar biasa buat Malaysia," katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan malam tadi.

Mengulas tentang kekalahan skuad Garuda, Yeyen berkata, pemainnya gagal memanfaatkan peluang dan dua gol yang dihasilkan Malaysia adalah 'hadiah' daripada anak didiknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Harimau garang jinakkan Garuda

Apa pun, beliau tetap memuji pemainnya kerana kerja keras dan berusaha bermain mengikut taktikal yang diberikan biar pun keputusan tidak memihak pasukannya.

"Saya ucapkan selamat buat Malaysia yang menguasai permainan biar pun kita memiliki banyak peluang dan bergerak lebih efektif.

"Tentang kegagalan penalti itu, bagi saya semua pemain boleh gagal melakukannya. Lionel Messi... Diego Maradona pun pernah gagal. Kalau hendak kata penalti itu detik kebangkitan, saya setuju. Apa pun itu pertandingan dan keputusan 90 minit itu sudah ada dan kita tak boleh mengubahnya," katanya.

Sementara itu, pemain penyerang, Febri Hariyadi berkata, pemain sudah bekerja semaksimum mungkin, tetapi keputusan tidak memihak kepada mereka.

'Berkat doa ibu, Safawi berjaya harumkan nama Malaysia'


AIMAN SADIQ ABDULLAH | | 20 November 2019
 
Perkongsian Safawi di laman Instagramnya kini tular di media sosial yang meraih 238,000 tontonan.

SHAH ALAM - Skuad Harimau Malaya berjaya membenamkan Garuda 2-0 dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.


Rembatan kegemaran kaki kiri, Safawi Rasid ternyata membuahkan hasil apabila berjaya menjaringkan dua gol kemenangan pada minit ke-29 dan 72 yang telah meletakkan Malaysia di kedudukan kedua dalam kumpulan.

Baru-baru ini, Safawi melalui laman Instagramnya telah memuat naik video memaparkan ibunya bersyukur setelah anaknya itu dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2019.

Ibunya yang sebak dengan kejayaan Safawi turut mendoakan supaya Safawi dapat melakukan yang terbaik dalam perlawanan yang akan datang.

"Alhamdulillah anak ma dapat anugerah yang terbaik...ma bersyukur sangat pada ALLAH...semoga buat yang terbaik insya-ALLAH,” kata ibunya.


Antara reaksi netizen yang mengatakan kemenangan Safawi adalah berkat doa seorang ibu.
Safawi juga dalam video tersebut turut memuat naik posting memberitahu "Bermakna padaku. Terima kasih Ma (ibunya) dan keluargaku," tulisnya di Instagram.

Perkongsian video tersebut kini tular di media sosial yang meraih 238,000 tontonan dan rata-rata netizen mengatakan kemenangan Safawi adalah berkat doa seorang ibu.

"Berkat doa ibumu Pawi mu berjaya mengharumkan nama Malaysia. Air mata itu berkat daripada ALLAH yang memberikan keizinan untukmu berjaya dalam sukan bola sepak. Teruskan usaha mu Pawi," kata Amri Zul.

Dalam pada itu, Zainah Ramlie menulis "Patutlah dia merupakan pemain Malaysia yang dilihat berpotensi untuk pergi jauh dalam sukan bola sepak. Berkat ibumu Pawi kamu berjaya sehingga ke hari ini.
SUMBER-Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/58165/BERITA/Sukan/Berkat-doa-ibu-Safawi-berjaya-harumkan-nama-Malaysia
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf


Terima kasih coach!


RAHAYU MUSTAFA | | 21 November 2019
 
Safawi ketika meraikan jaringan gol kemenangan Malaysia ketika menewaskan Indonesia 2-0 pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di antara Malaysia menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil Selasa lalu. - Foto: Bernama

HERO Harimau Malaya, Safawi Rasid berterima kasih kepada pengendali skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee kerana menggugurkan namanya daripada senarai pemain bagi menghadapi Sukan SEA 2019 di Filipina hujung bulan ini.


Bintang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu mengakui dia berasa penat untuk beraksi selepas terpaksa mengharungi jadual perlawanan yang padat sepanjang tahun ini, baik ketika menyarung jersi kelabnya mahupun skuad negara.

“Tahun ini saya banyak game (perlawanan), dari awal tahun sampai sekarang baru break (rehat). Saya berterima kasih kepada ketua jurulatih (Kim Swee) bagi saya rehat,” katanya ketika ditemui di Dungun hari ini.

Safawi berkata, meskipun tanpa kehadirannya dalam skuad B-22 negara, dia percaya masih ramai pemain muda berbakat yang boleh mengisi kekosongan tersebut dan meraih kejayaan pada Sukan SEA kali ini.

"Saya percaya rakan-rakan yang dipanggil menyertai skuad B-22 negara mampu menggalas tugas dan tanggungjawab mereka dengan baik. Ini perluang terbaik buat mereka membuktikan kemampuan masing-masing," ujarnya.

Terdahulu, Kim Swee dengan berat hati terpaksa menggugurkan Safawi yang baru dinobatkan Pemain Paling Bernilai (MVP) pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2019 demi kebaikan pemain sayap lincah JDT itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ong Kim Swee gugur Safawi

Safawi bukan pertama kali diketepikan Kim Swee

Pengguguran Safawi mendapat pelbagai reaksi positif dan negatif oleh peminat dan penyokong bola sepak tempatan, namun sebagai jurulatih, Kim Swee hanya mahukan yang terbaik buat pemain berusia 22 tahun kelahiran Dungun, Terengganu itu.

"Kita dapat lihat Safawi kini berada pada tahap berbeza dan ini bukan sahaja daripada hasil usaha barisan jurulatih tetapi keyakinan diri Safawi sendiri dan kesungguhan dia yang telah membawanya ke tahap cukup baik ini.

"Dalam sesi latihan, dia fokus kepada setiap situasi tetapi yang memberi kelebihan sudah tentu sepakan percumanya yang mana dia mempunyai kesungguhan untuk berlatih (sepakan percuma) setiap hari selepas tamat latihan.

"Apabila kita berlatih dengan baik ketika sesi latihan, ia akan berlaku serta ‘menjadi’ dalam setiap perlawanan," jelas Kim Swee.

ARTIKEL BERKAITAN: Ketiadaan Safawi dirasai, kata Luqman Hakim
SUMBERArtikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/58456/BERITA/Sukan/Terima-kasih-coach!
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf


Betul ke penatBetul ke penat


MyMetroUtama
 
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my
“IA satu keputusan yang tidak masuk akal apabila pemain yang sedang berada pada tahap prestasi terbaik, diketepikan dengan alasan pemain itu penat.

“Sebelum ini (dua tahun lalu) kita bermain di tempat sendiri. Itupun sukar kita nak meraih pingat emas, ini pula beraksi di Filipina tanpa tonggak yang berjaya meledak gol ketika bertemu Indonesia, Selasa lalu.

‘Mungkin Safawi (Rasid) mahu bermain cuma apabila tidak disenaraikan... dia tidak mahu komen dan menghormati keputusan itu. Malah, sebagai pemain sudah pasti setiap individu mahu bermain jika diberikan kesempatan,” kata pengkritik bola sepak, Khalid Ali.

Bagi Khalid, Safawi mungkin tidak serius mengatakan dia penat bagi menolak bermain di Sukan Sea dan percaya sebagai seorang profesional, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) berkenaan sedar ia bukan alasan terbaik untuk diketengahkan.

Khalid juga percaya, alasan penat tidak boleh digunakan oleh mana-mana pemain untuk menolak panggilan bersama skuad kebangsaan kerana ia adalah asam garam sebagai pemain bola sepak sepenuh masa.

“Safawi berada dalam kemuncak prestasi dan dia perlu bersedia jika khidmatnya diperlukan untuk menyarung jersi kebangsaan. Jika saya adalah jurulatih, sudah tentu saya mahukan lebih ramai pemain berpengalaman dan bagus untuk dibawa ke Sukan Sea,” katanya.

Semalam, Arena Metro melaporkan Safawi mendakwa dia terlampau penat dengan jadual perlawanan padat sepanjang tahun ini dan tidak kesal namanya tidak berada dalam senarai pemain ke Sukan Sea.

Safawi sah tidak beraksi di Filipina selepas Kim Swee mengumumkan senarai pemain pada sesi latihan yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), kelmarin.

Keputusan itu sememangnya di luar jangkaan kerana Safawi awal-awal lagi dicanang bakal memperkuatkan pasukan negara yang menyasarkan mara ke pentas final temasya dwitahunan itu.

Malah, Safawi juga sebelum ini adalah ketua pasukan skuad B-22 ketika mengharungi pusingan kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Kuala Lumpur, Mac lalu.

Sementara itu, bekas pertahanan negara, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, penat bukan alasan terbaik untuk tidak menyarung jersi kebangsaan.

“Penat bukan alasan yang patut diberikan oleh pemain profesional kerana kerjaya kita adalah bermain bola sepak, malah rehat selama 72 jam saja sudah mencukupi untuk pulih,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 7:00 AM


'Itu baru sikit...'


MyMetroUtama
 
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
KEJAYAAN meledak dua gol menerusi tendangan kaki kiri padu ke atas Indonesia masih tidak memberi kepuasaan buat pemain sayap Harimau Malaya, Safawi Rasid yang bertekad untuk tampil lebih berbisa dalam aksi akan datang.

Ledakan berbisa bak peluru menerusi sepakan percuma babak pertama dan rembatan dalam kotak penalti di separuh masa kedua memastikan Malaysia merakam kemenangan 2-0 sekali gus meraih tiga mata berharga untuk naik di tangga kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Jelas pemain kelahiran Dungun, Terengganu yang kini beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Malaysia itu, dua gol berkenaan amat manis apatah lagi jaringan sepakan percumanya itu adalah yang kedua di peringkat antarabangsa.

Katanya, biarpun sudah beberapa kali meledak menerusi sepakan percuma dalam saingan liga tempatan, gol yang terhasil pada minit ke-30 itu lebih istimewa kerana ia berlaku dalam kempen kelayakan Piala Dunia.
 
“Saya bersyukur kerana dapat membantu pasukan dan gol sepakan percuma itu amat istimewa sekali. Saya gembira dan berharap mampu melakukannya lagi dalam aksi bersama pasukan negara,” katanya.

Dua gol berkenaan membolehkan Safawi mengumpul 10 gol bersama pasukan kebangsaan dengan gol pertama dicetak ketika menentang Korea Utara dalam saingan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2019 yang menyaksikan skuad negara di bawah kendalian Nelo Vingada ketika itu tewas menerusi agregat 8-2.

Malah, gol menerusi situasi bola mati itu bukanlah yang pertama buatnya apabila pada kempen Piala AFF tahun lalu dia turut meledak ketika mengikat Vietnam 2-2 pada final pertama di Bukit Jalil.

Katanya, dua gol cantik yang tercipta di Stadium Nasional Bukit Jalil itu turut menambah keyakinannya menjelang aksi berikutnya menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Mac depan di Dubai.

“Apa pun saya tetap akan perbaiki dari hari ke hari untuk Malaysia... saya masih belum puas. Kemenangan ini penting untuk keyakinan saya menjelang perlawanan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) nanti.

“Kami akan terus beri komitmen dan tingkatkan tahap kecergasan,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 7:00 AM


Safawi idam ulangi emas 1989


MyMetroArena
 
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
PEMAIN skuad bawah 22 tahun negara (B-22) Safawi Rasid mengingatkan rakan sepasukan untuk fokus kepada halangan peringkat kumpulan sebelum mahu memasang impian beraksi di final Sukan SEA hujung bulan ini.

Meskipun dia mengakui ada harapan untuk mereka menoktahkan penantian merangkul pingat emas di laman sendiri sejak kali terakhir pada 1989, namun saingan peringkat Kumpulan A tidak boleh diambil mudah.

“Bermain di tempat sendiri bukan satu bebanan tapi kelebihan kepada kita, cuma saya dan semua rakan sepasukan harus berikan 100 peratus komitmen.

“Dalam setiap perlawanan, setiap minit, kena berjuang sehingga tamat permainan. Semua pasukan bagus, kita cuma mahu menang saja, sebab ini peluang untuk kita meraih pingat emas Sukan SEA kembali,” kata Safawi.

Safawi, yang berusia 20 tahun dan kini mewakili kelab Johor Darul Ta’zim (Johor DT) antara enam pemain yang dipanggil semula oleh jurulatih Datuk Ong Kim Swee selepas tidak mendapat pelepasan untuk bersama pasukan dalam saingan kelayakan Kejohanan AFC B-23 di Bangkok bulan lalu.

Pemain sayap itu mengakui, tiada pemain sudah terjamin tempat untuk berada dalam senarai akhir 20 pemain yang akan diumumkan hari ini.

“Kami sekarang fokus dalam latihan bagi menghadapi saingan Sukan SEA, bagi saya peluang yang jurulatih berikan akan saya ambil sebaik mungkin.

“Bagi saya semua pemain mahu beraksi di Sukan SEA jadi kami perlu bersaing untuk merebut tempat,” jelas Safawi.

Malaysia juara 2011 di Jakarta bakal memulakan kempen Kumpulan A menentang Brunei di Stadium Shah Alam Isnin ini sebelum berdepan Singapura, Myanmar dan Laos.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 5:33 PM

Safawi tekad buat Thailand menangis


MyMetroArena
 
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
“THAILAND berlagak sangat, final ini saya mahu buat mereka kecewa,” kata penyerang skuad bawah 22 tahun (B-22) negara Safawi Rasid menjelang perlawanan akhir dengan pasukan juara bertahan, Thailand pada final acara bola sepak lelaki di Stadium Shah Alam, esok.

Menurutnya, dia dan rakan sepasukan begitu bersemangat untuk menyekat dominasi Thailand yang kini memburu kejuaraan hatrik.

“Kita berjaya menundukkan Indonesia (1-0) di separuh akhir dan ia bukan perlawanan mudah. Kejayaan itu memberikan kita keyakinan dan kita akan bermain di tempat sendiri bersama sokongan padu penyokong. Saya fikir kita boleh beri persembahan lebih baik di final.

“Ini kali pertama saya bermain di Sukan SEA dan kali pertama ke final. Kita akan bermain untuk merebut ibu segala pingat dan sudah pasti kita ingin menewaskan Thailand untuk leburkan ego mereka di mana sebelum ini mereka memperlekehkan kemampuan kita,” katanya.

Semangat pemain negara kian membara apabila mereka kini hanya selangkah untuk melakar sejarah merangkul kejuaraan sejak Sukan SEA Jakarta 2011.

Pada mulanya ramai yang beranggapan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu sukar untuk ke final termasuk penyerang Thailand Sittichok Kannoo yang memilih untuk bertemu Indonesia kerana menganggap pasukan tuan rumah tidak kuat.

Malah keyakinan pemain lawan itu disuntik dengan kejayaan mereka mengalahkan Malaysia 3-0 pada pertemuan terakhir di Bangkok dalam saingan kelayakan Kejohanan AFC B-23, bulan lalu.

Safawi yang sudah meledak dua gol setakat ini menganggap pertemuan itu tidak boleh diambil kira kerana beberapa perubahan sudah dilakukan Kim Swee.

“Saya fikir kita berada di tahap terbaik. Di sebalik semangat ini, kita tak boleh terlampau yakin dan tertekan.

“Sebelum ini, ada enam pemain tak pergi ke Bangkok termasuk saya dan diharap enam pemain ini dapat bantu kejayaan pasukan,” katanya.

Selain Safawi, lima lagi pemain yang tidak bersama pasukan menentang Thailand di Bangkok ialah Matthew Davies, Nor Azam Azih, S Kumaahran, Syamer Kutty Abba dan Haziq Nadzli kerana tidak mendapat pelepasan pasukan masing-masing namun mereka menjadi tonggak Kim Swee di Sukan SEA.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2017 @ 5:14 PM

Peninglah...


MyMetroArena
 
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Shah Alam: Jurulatih skuad bawah 22 tahun negara (B-22) Datuk Ong Kim Swee berdepan tugas sukar untuk membuat menyediakan senarai akhir 20 pemain yang bakal menggalas misi memburu pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Pengendali kelahiran Melaka itu berkata, sehingga kini beliau masih belum mempunyai bayangan pemain kerana persaingan antara 28 anak buahnya untuk merebut tempat agak sengit.

“Ini keputusan sukar tapi saya kena memilih pemain yang terbaik dan saya kena lihat daripada banyak aspek tentang pemilihan nanti.

“Saya kena lihat aspek kecederaan, kecergasan pemain dan posisi-posisi tertentu. Saya masih belum ada bayangan, saya ada tiga sesi lagi sebelum saya menentukan 20 pemain yang akan didaftarkan Sabtu nanti,” katanya kepada pemberita pada sesi latihan semalam.

Sebelum ini, Kim Swee memanggil 27 pemain bagi sesi latihan pusat bermula Ahad lalu namun pemain tengah Perak, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri memulakan latihan semalam selepas pulih daripada kecederaan.

Saingan merebut tempat semakin sengit apabila enam pemain yang tidak bersama pasukan pada saingan kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok bulan lalu kerana tidak mendapat pelepasan kini turut sama berlatih.

Mereka adalah Matthew Davies, Nor Azam Azih (Pahang), S Kumaahran, Syamer Kutty Abba (Pulau Pinang), Haziq Nadzli dan Safawi Rasid (Johor Darul Ta’zim).

“Tiada perbezaan, semua pemain menunjukkan kesungguhan. Bukan hanya enam pemain yang tidak bersama dengan kita sebelum ini. Mereka menunjukkan kerjasama dan ini memberi pulangan yang baik untuk pasukan,” katanya.

Malaysia akan memulakan kempen Kumpulan A menentang Brunei di Stadium Shah Alam, Isnin ini sebelum bertemu Singapura, Myanmar dan Laos.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2017 @ 10:55 AM